Jerman di bawah kerajaan "Third Reich" Adolf_Hitler

Pada tahun 1934, Hitler menjadi Ketua Negara dengan gelaran Führer und Reichskanzler (Pemimpin dan Canselor Reich).

Selepas pilihan raya 1932, Hitler mencadangkan Rang Undang-Undang Enabling Bill yang memberi kuasa diktator kepadanya. Rang Undang-Undang tersebut memerlukan tiga perempat undi Reichstag dan partinya hanya mempunyai satu pertiga kerusi. Walaupun begitu, sebahagian besar wakil parti komunis telah dimasukkan ke kem tahanan. Hitler hanya memerlukan sokongan Catholic Centre Party (BVP) untuk meluluskan akta ini. Hitler kemudiannya berjumpa dengan perwakilan parti ini dan menjamin hak saksama untuk gereja Katolik. Akhirnya parti Nazi berjaya mendapat sokongan parti BVP dan akta ini diluluskan.

Langkahnya yang pertama ialah mengambil alih persatuan sekerja. Selepas itu parti komunis dan Sosial Demokrat telah diharamkan. Ini disusuli pula parti lain termasuk Catholic Centre Party, Nationalist Party dan parti-parti lain selain NSDAP telah diisytiharkan sebagai parti haram, dan pada akhir 1933 terdapat lebih 150,000 tahanan politik dihantar ke kem tahanan. Joseph Goebbels telah dilantik sebagai Menteri Propaganda dan sentiasa memantau maklumat yang disebarkan melalui semua suratkhabar, majalah-majalah, buku-buku, radio dan sebagainya. Manakala Goering, yang merupakan Menteri Dalam Negeri telah membuang pegawai-pegawai tinggi polis dan menggantikannya dengan penyokong Nazi. Mereka ini kemudiannya dipanggil Gestapo.

Pada awal pemerintahan Hitler, sebagai seorang yang gila kuasa beliau sentiasa bimbang dengan perebutan kuasa dalam partinya sendiri. Oleh yang demikian beliau telah melaksanakan sistem pecah dan perintah (divide and rule) bersama pegawai-pegawainya yang berpengaruh seperti Goebbels, Roehms dan Goering. Antara mereka bertiga, Roehms merupakan orang yang paling dicemburui kerana mengetuai pasukan SA yang besar dan berkuasa. Oleh itu, beliau telah dituduh sebagai seorang homoseks oleh musuh-musuhnya. Walaupun, Hitler pada mulanya tidak mempercayai cerita ini tetapi beliau mempercayainya apabila melihat dengan sendiri pegawai yang digemarinya itu melakukan hubungan homoseks dengan pegawai bawahannya.

Pada malam yang dikenali sebagai Malam Pisau Panjang "The Night of the Long Knives" Hitler membunuh semua penentangnya termasuk Roehms dalam parti Nazi. Hitler juga menyalahkan Komunis dan Yahudi atas kelembapan ekonomi dan berjaya meraih sokongan angkatan tentera dengan melaksanakan polisi melengkapkan peralatan senjata Jerman.

Namun demikian, banyak kejayaan telah berlaku sewaktu beliau berkuasa di Jerman. Antara lain, Jerman merupakan negara Eropah pertama yang pulih sepenuhnya daripada Kemelesetan Besar yang melanda ekonomi dunia. Kadar pengangguran telah dikurangkan apabila kaum wanita digalakkan untuk berhenti kerja dan menjadi suri rumah, lantas memberi laluan kepada kaum lelaki untuk mendapat kerja yang baru. Di samping itu, beliau telah memulakan industri automatif secara besar-besaran di Jerman dengan pembuatan kereta Volkswagen (yang bermaksud "kereta rakyat" dalam bahasa Jerman) dan juga membangunkan sistem lebuhraya autobahn di sana.